Jangan Sembunyi Kes Gangsterisme - Kamalanathan


KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas pengurusan sekolah yang menyembunyikan kes gangsterime.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata hal itu tidak sewajarnya berlaku dan dibuat oleh pengurusan sekolah kerana melanggari undang-undang dan Standard Operasi Prosedur (SOP) kementerian.

Beliau berkata, isu gangsterisme membabitkan pelajar adalah masalah berat dan pihak sekolah haruslah melaporkan segala-galanya kepada pihak kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Tidak boleh berlaku (pengurusan sekolah) sembunyi kes gangsterisme. Kementerian akan ambil tindakan terhadap pihak sekolah.

"Kalau ada pengurusan (sembunyi kes gangsterisme), pihak sekolah kena buat laporan jika berlaku kes itu di sekolah membabitkan pelajar.

"Sekiranya pengurusan sekolah berdegil dengan menyembunyi kes berkenaan, kementerian akan ambil tindakan sewajarnya," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mansor Abduk Rahman (BN-Sik) berhubung adakah wujud kes gangsterisme yang disembunyi oleh pengurusan sekolah di negara ini.

Justeru, Kamalanathan berkata, kementerian komited memastikan sifar pembabitan pelajar dengan gangsterisme di sekolah termasuk gejala buli siber.

Beliau berkata, pelbagai kerjasama diwujudkan antara kementerian dengan pihak berkuasa dan masyarakat seperti PDRM serta Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG).

Selain itu, kementerian juga melaksanakan pemantapan perundangan juvenil di luar sekolah dan pengukuhan sahsiah diri pelajar dalam sekolah menerusi pendekatan kokurikulum dan kurikulum.

"Kementerian konsisten dalam melaksanakan pelbagai pendekatan dan program untuk membendung masalah gangsterisme sama ada membabitkan pengaruh orang luar.

"Kita sudah wujudkan persefahaman dengan PDRM. Pegawai polis ditempatkan sebagai pegawai penasihat di lebih 10,000 sekolah.

"Mereka ini berperanan memberi nasihat selain memantau sekolah dari semasa ke semasa," katanya.

Rekod salah laku gangsterisme berdasarkan rekod sistem sahsiah diri murid

* 2014 - 0.002%

* 2015 - 0.001%

* 2016 - 0.002%

* Sehingga 13 Okt 2017 - 0.002%

Sumber: BH Online