JAS Perlis Pantau Kilang Supaya Jaga Alam Sekitar


PADANG BESAR  - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sentiasa melakukan pemantauan ke atas kilang-kilang yang beroperasi di negeri ini supaya mengamalkan pengurusan yang baik dan tidak menimbulkan masalah pencemaran.

Pengarah JAS negeri, Azman Shah Ismail berkata, sehubungan itu lawatan berkala ke kilang-kilang sentiasa diadakan bagi mencapai matlamat itu.

Pada hari ini, satu lawatan telah diadakan melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mat Rawi Kassim ke MSM Perlis Sdn Bhd.

Sebelum ini MSM Perlis Sdn. Bhd. dikenali Kilang Gula Felda Felda Sdn. Bhd.

Kata Azman Shah, tujuan lawatan itu untuk membolehkan pihak kerajaan negeri mengetahui isu-isu terkini serta meninjau secara dekat sejauh mana kilang ini mengamalkan peraturan penjagaan alam sekitar semasa beroperasi.

Kata beliau lagi, pemeriksaan berkala berkenaan dijalankan bagi memastikan kilang ini mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sumber: Utusan Online