Tasek Gelugor: Mayat seorang lelaki dengan kesan kelar pada leher ditemui tertiarap di tepi Sungai Jarak berhampiran Kampung Paya Tok Akil, di sini, semalam.
Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan, jam 7.30 pagi sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat mangsa yang berseluar jeans dan berbaju-T.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui kesan kelar pada bahagian depan dan belakang leher mangsa yang dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di tepi sungai berkenaan.
“Polis percaya mayat baru dibuang di kawasan itu sebelum ditemui berdasarkan kesan darah yang masih baru,” katanya.
Menurutnya, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri pada badan mangsa tetapi percaya lelaki itu warga tempatan kerana ada kesan suntikan pada bahu kirinya dan berusia lingkungan 30-an.
Katanya, polis juga tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga segera membuat laporan bagi membantu siasatan.
Sumber: Metro