JDT Tak Risau Sekadar Seri Dengan Kedah


JOHOR BAHRU – “Tiada apa yang perlu saya risaukan pada perlawanan malam semalam,” kata Ketua Jurulatih Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Ulisses Morais.

Menurut beliau, perlawanan sebenar antara JDT dan Kedah bukan di Stadium Darul Aman itu, sebaliknya adalah pada perlawanan akhir Piala Malaysia minggu hadapan.

“Apa yang paling penting tiada kecederaan yang dialami oleh para pemain kami pada malam tadi.

“Pada perlawanan akhir nanti saya tahu perwatakan sebenar yang pemain saya akan bawa dan kami akan bermain dengan kesungguhan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perlawanan JDT dan Kedah untuk aksi tumpuan Liga Super di Kedah malam tadi berakhir dengan keputusan seri 0-0.

Perlawanan itu diibaratkan sebagai pra-Final Piala Malaysia oleh ramai peminat bola sepak kerana kedua-dua pasukan akan bertembung sekali lagi untuk penentuan Juara Piala Malaysia 2017.

Terdahulu, Morais menyifatkan perlawanan malam semalam bagus untuk kecergasan anak buah beliau bagi menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia.

Kata beliau, JDT dalam aksi malam tadi sebenarnya tidak mahu pemainnya tertekan sangat untuk mengelakkan daripada kecederaan terutama selepas menjuarai Liga Super.

“Kami juga sedia maklum bahawa akan berhadapan dengan pasukan yang tidak menurunkan kesebelasan utama mereka.

“Jadi kami menggilirkan pemain kami dengan memberi peluang kepada beberapa pemain kami yang lain. Ini bertujuan untuk tidak membiarkan semua pemain kami berasa terlampau selesa untuk perlawanan akan datang,” katanya.  - Kedahnews.com