JPJ Galak Pelajar Ambil Lesen


JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melancarkan Program MyLesen Kadet JPJ akhir tahun ini, bagi menggalakkan hampir 10,000 ahlinya yang juga pelajar sekolah menengah memiliki lesen menunggang motosikal.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata program itu diperkenalkan bagi membantu belia berusia 16 tahun ke atas yang berdepan masalah dalam mendapatkan lesen motosikal B2.

Katanya, menerusi Program MyLesen Kadet JPJ itu pelbagai program termasuk kursus, latihan menunggang motosikal dan menduduki ujian akan diadakan di sekolah.

"Program berkenaan akan diperkenalkan serentak di seluruh negara dan memberi keutamaan kepada ahli Kadet JPJ dengan bayaran sebanyak RM199.

"Setakat ini, terdapat 222 sekolah di seluruh negara dengan keahlian seramai 9,689 menyertai Kadet JPJ dan daripada jumlah itu, 22 sekolah dengan 1,168 ahli menyertai Kadet JPJ di Johor," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menutup Program Perkhemahan Kadet JPJ Negeri Johor di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Azman Adnan.

Program selama tiga bermula Jumaat lalu, julung kali diadakan sejak penubuhan Kadet JPJ dan disertai seramai 245 pelajar membabitkan tujuh sekolah di negeri ini.

Perkhemahan itu bertujuan memperkasakan displin dan jati diri dengan mematuhi undang-undang serta keselamatan jalan raya.

Wan Ahmad Uzir, berkata kira-kira 60 peratus penunggang motosikal berusia 16 hingga 30 tahun ke atas di negara ini tidak memiliki lesen.

"Kita buka program ini hanya kepada ahli Kadet JPJ sahaja dan sebagai permulaan kita buka peluang kepada ahli kadet yang berusia 16 tahun.

"Kita menjangkakan pelaksanaan program ini bakal meningkatkan lagi bilangan ahli Kadet JPJ di seluruh negara kerana ia turut meringankan beban bagi mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan lesen motosikal," katanya.

Sumber: BH Online