Selepas dikejutkan dengan laporan berita mengenai salah seorang atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos lalu dipercayai antara tiga atlet yang gagal ujian doping, arena sukan negara sekali digemparkan dengan laporan kes rogol.
Harian Metro hari ini melaporkan seorang atlet renang negara membuat laporan di Balai Polis Cheras, Jumaat lalu, mendakwa dirogol jurulatihnya.
Laporan berhubung kes itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh.
Amar Singh berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, lapor akhbar tersebut.
Sementara Amar Singh dipetik Berita Harian sebagai berkata, berdasarkan siasatan mangsa dirogol sekitar September lalu.
"Setakat ini, siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Kuala Lumpur,” katanya.
Susulan laporan dibuat ibu bapa mangsa, suspek berusia 35 tahun ditahan di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sekitar jam 12.30 tengah hari.
Difahamkan, suspek berasal dari China dan kini berstatus taraf penduduk tetap (PR).
Suspek juga merupakan bekas atlet Olimpik, lapor Berita Harian.
Sementara mangsa pula difahamkan tidak terlibat dalam mana-mana acara pada KL2017, yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos lalu.
Amar Singh menambah, pihaknya akan mendapatkan kebenaran menahan reman suspek hari ini.
Sumber: MalaysianDigest