Jusuf Kalla Tersinggung Dengan Dr. M, Kedutaan Kita Terima 'Ancaman' Dari Pemuda Bugis


ISTANBUL - Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengakui secara peribadi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau merasa amat tersinggung dengan kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang melabel keturunan Bugis sebagai lanun.

Perasaan itu dinyatakan Jusuf yang berketurunan Bugis kepada Ahmad Zahid ketika kedua-dua pemimpin yang mengetuai delegasi negara masing-masing dalam Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Islam Membangun (D-8) menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di sini semalam.

“Walaupun (menyatakan) bukan secara rasmi tetapi Jusuf memberitahu saya bahawa beliau amat-amat tersinggung dengan ungkapan yang menghina orang Bugis sama ada di Malaysia atau di Indonesia khususnya Sulawesi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ahmad Zahid menjelaskan, dari sudut sejarah, panggilan lanun terhadap orang Bugis sebenarnya diletakkan oleh penjajah sedangkan sebenarnya mereka adalah pahlawan yang menentang penjajah. 

Sementara itu di Jakarta,  Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meminta Dr. Mahathir  meminta maaf secara terbuka kepada masyarakat Bugis di Malaysia dan Indonesia kerana kenyataannya yang menghina keturunan etnik itu.

Zahrain berkata  kenyataan Dr. Mahathir yang menghina keturunan tersebut telah menyebabkan Perhim­punan Pemuda Bu­gis Makasar Indonesia (PPBMI) mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta  jika Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak memohon maaf.

“Pihak kami telah mene­rima memorandum bantahan semalam  daripada PPBMI yang menuntut Dr. Mahathir meminta maaf secara terbuka kerana menghina keturunan Bugis.

“Mereka mengancam untuk mengepung Kedutaan Besar Malaysia jika tiada permohonan maaf daripada Dr. Mahathir itu. 

Sumber - Utusan