Gara-gara sekeping foto dan video yang dikongsi ketika sedang bercuti di Pulau Perhentian baru-baru ini, Nadia Brian menerima kritikan netizen kerana dianggap seksi.
Memetik laporan mStar online, pelakon kacukan Melayu-Australia ini berkata dia terkejut kerana secara tiba-tiba pengikut Instagram miliknya bertambah dan rata-rata memberikan komen mengatakan dia seksi.
"Terkejut juga tiba-tiba followers di Instagram bertambah dan bila baca komen ada yang kata pakaian saya seksi.
"Bagi saya, ia tidaklah terlalu seksi dan gambar itu diambil ketika saya sedang bersantai di kawasan pantai.
"Saya bercuti berdua dengan ibu dan video itu dirakam oleh ibu. Saya bukan bercuti dengan mana-mana lelaki seperti yang didakwa oleh netizen," katanya.
Dalam pada itu, aktres berusia 26 tahun ini berkata dia lebih selesa menjadi diri sendiri dan tidak mahu terlalu memikirkan kata-kata negatif yang dilontarkan terhadapnya.
Ujarnya, dia lebih selesa memilih untuk mendiamkan diri dan sebolehnya mahu dikenali kerana kerjaya dan bukannya soal peribadi.
"Malaslah nak ambil tahu benda-benda begini, yang penting saya buat hal sendiri dan tak kacau orang.
"Sejujurnya, saya tak tertekan tentang isu ini cumanya kalau boleh jangan terlalu mudah melabelkan saya dengan tanggapan yang tidak baik.
"Kalau ada yang kurang selesa dengan tingkah laku saya, saya mohon maaf," katanya yang bakal muncul menerusi drama Dekatkan Jarak Kita tidak lama lagi.
Sumber: MalasianDigest