Kanak-Kanak 2 Tahun Dari Batu Pahat Digigit Anjing


BATU PAHAT  - Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera parah dipercayai akibat digigit seekor anjing dalam kejadian di kawasan rumah kedai di Taman Banang Heights, di sini kelmarin.

Kanak-kanak tersebut, Ainin Syuhadah Syahrul Nizam dipercayai cedera parah di bahagian kepala dalam kejadian yang turut melibatkan ibu, kakak dan bapa saudaranya ketika menaiki motosikal.

Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular dalam media sosial, motosikal yang dinaiki mereka terbabas dipercayai ketika cuba mengelak sebuah lori yang sedang memunggah barang.

Dalam rakaman lebih seminit itu, motosikal mereka merempuh pintu kedai di tempat kejadian dan dipercayai anjing tersebut yang diikat di situ terus menerkam mangsa.

Rakaman tersebut turut memaparkan orang ramai cuba membantu melepaskan kanak-kanak berkenaan yang digigit di bahagian kepala.

Difahamkan, ibu dan kakak kanak-kanak itu serta bapa saudaranya tidak mengalami kecederaan serius dan Ainin Syuhadah kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Sumber: UtusanOnline