BALING - Penantian lebih 17 jam keluarga mangsa lemas, Mohd Aminuddin Mohamad Nazri, 5, yang terjatuh ke dalam parit di Kampung Lanai berakhir apabila kanak-kanak itu ditemui Jabatan Amal Negeri Kedah empat kilometer dari lokasinya tergelincir.
Difahamkan, mangsa ditemui pada jam 10.54 pagi di dasar parit pada kedalaman lebih satu meter dengan jarak 500 meter dari titi Parit Panjang.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, Mohd Aminuddin tergelincir ketika melintasi sebatang titi yang tiada pengadang di bahagian kiri.
Mangsa dikatakan keluar mengekori kakaknya, Nurul Jannah, 10, yang ketika itu keluar menghantar rakan, Nur Irdina Abdullah, 10, ke Pondok Misbah Al-Falah.
Ibu mangsa, Kalmawita Ya, 37, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian menimpa anaknya selepas dimaklumkan penduduk.
Menurutnya, sebelum kejadian, anaknya itu masih berada di rumah, namun keluar mengekori anak keduanya itu tanpa pengetahuan.
"Waktu dia keluar, memang saya taktau sebab tengah masak.
"Sebelum itu pun saya suruh dia makan nasi. Lepas itu dia keluar, saya tak perasan. Selalunya dia beritahu tapi kali ini tak," katanya.
Suri rumah yang masih dalam pantang melahirkan anak bongsu, Mohd Asyraf Izzudin berkata, dia reda dengan apa yang berlaku.
"Saya lega bila dapat tahu jasad anak kesayangan dah ditemui," katanya yang merupakan ibu kepada empat anak berusia sebulan hingga 13 tahun.
Jenazah Mohd Aminuddin selamatkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanai selepas disolatkan di Masjid Kampung Lanai.
Kakak cuba selamatkan adik
Nurul Jannah berkata, mangsa mengekorinya ketika dia keluar rumah untuk menghantar rakan.
Menurutnya, sebelum itu, Nur Irdina datang ke rumah mengunjungi adik bongsunya.
“Bila kawan nak balik, saya pun teman dia pi dekat pondok. Tapi adik ikut dari belakang.
“Sampai di titi dia terus lari ke depan untuk tengok air. Tapi tiba-tiba kakinya tergelincir dan terus jatuh dalam parit,” Katanya.
Nurul Jannah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik berkata, dia terjun ke dalam parit tersebut untuk menyematkan mangsa namun arus air kuat menghalangnya berbuat demikian.
“Saya terjun dalam parit tu sebab nak tarik tangan dia, tapi air dalam. Tak sempat nak buat apa.
“Mula-mula adik tenggelam timbul lepas tu terus hanyut.” katanya yang terpaksa mencapai ranting kayu di tebing parit untuk menyelamatkan diri.
Orang ramai membantu pihak bomba dan agensi lain mencari mangsa di sekitar parit pada malam kejadian.
Katanya, Nur Irdina ada melihat Mohd Aminuddin dibawa arus kuat sejauh 100 meter sebelum hilang dari pandangan.
“Kawan nampak air parit bawa adik, kami kejar tapi tak dapat buat apa-apa lagi. Adik dah hilang. Lepas tu saya dan kawan terus beritahu orang kampung,” katanya.
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai itu dilihat tabah ketika diminta menunjukkan ke lokasi adiknya tergelincir.
Datuk mangsa, Husin Lebai Saman, 67, berkata, dia mengetahui mengenai kehilangan cucunya apabila mendengar tangisan Kalmawita.
Menurutnya, ketika itu dia sedang tidur termasuk bapa kanak-kanak itu, Mohamad Nazri Husin, 37.
"Titi tanpa pengadang tu dah rosak lebih setahun tapi pihak berwajib langsung tak datang baiki.
"Jalan dekat kampung ini pun sama tak diambil perhatian," katanya.
Pengadang dicuri penagih
Ketua Platun Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kampung Lanai, Zulkipli berkata, malam kejadian sebuah pembetung tidak jauh dari kawasan kanak-kanak itu terjatuh didapati tersekat dengan sampah sarap.
“Pembetung itu tak jauh dari titi dia terjatuh. Air di kawasan itu berputar dan ada di antara penduduk merasakan mangsa tersangkut di dasar.
“Bila sampah sarap dibuang air mengalir lebih laju menghala ke kawasan Parit Panjang. Ketika itu pasukan penyelamat tidak cukup anggota untuk turun ke dasar.
“Mungkin sebelum dijumpai hari ini (semalam) budak tu ada tersangkut di dasar pembetung,” Katanya.
Tambahnya, bahagian pengadang titi berkenaan hilang dipercayai dicuri penagih.
Husin bersama cucunya, Nurul Jannah menunjukkan lokasi Mohd Aminuddin tergelincir di titi tanpa pengadang.
Menurutnya, permohonan kepada pihak berwajib untuk membina pengadang baru telah dibuat sejak bulan Ramadan lalu, namun tiada maklum balas.
“Dari bulan puasa lagi kita minta pengadang baru dibina, tapi tak ada respons sampai sekarang.
“Saya harap dapat segerakan binaan pengadang bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” Katanya.
Sementara itu Sinar Harian cuba mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi JKKK, Ahmad Omar berkenaan ketiadaan pengadang di titi berkenaan.
Ahmad Omar berkata, beliau telah membawa perkara berkenaan kepada wakil Adun Kupang.
“Adun Kupang kini masih berada di Makkah, perkara ini telah dimaklumkan kepada wakilnya. Saya rasa dalam tempoh terdekat masalah ini diselesaikan,” Katanya.
Sumber: Sinar Harian