Kanak-Kanak Perempuan Nyaris Jadi Mangsa Culik Tiga Lelaki Bawa Lari Kereta Di Jitra


ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak perempuan nyaris menjadi mangsa culik selepas tiga lelaki membawa lari kereta Honda Civic milik bapanya di parkir sebuah stesen minyak di Taman Mahsuri, Jitra, semalam sebelum meninggalkan mangsa di tepi jalan.

Mengikut kenyataan yang diterima, mangsa berusia empat tahun itu ditinggalkan didalam kereta oleh bapanya, 33, yang keluar untuk ke tandas tanpa mematikan enjin kenderaan sekitar jam 7.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, lelaki terbabit yang keluar lima minit kemudian dari tandas terkejut mendapati keretanya sudah tiada sebelum melihat anak perempuannya menangis di tepi jalan, kira-kira 30 meter dari stesen minyak itu.

Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu mendapati, sebelum kejadian, sebuah Proton Wira hitam dinaiki tiga suspek berusia 30-an berhenti untuk mengisi minyak sebelum membawa lari kereta milik mangsa.

“Seorang daripada suspek keluar daripada Proton Wira dan terus ke tandas di belakang stesen minyak itu.

“Suspek meninjau kawasan sekitar sebelum masuk ke dalam Honda Civic itu lantas memecut dari lokasi bersama kanak-kanak berkenaan yang duduk di tempat duduk penumpang depan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

Menurut Mohd Ismail, suspek kemudiannya meninggalkan kanak-kanak tersebut di tepi jalan tanpa dicederakan.

“Siasatan mendapati, Proton Wira digunakan suspek adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di Pendang kelmarin.

“Akibat kejadian, lelaki berkenaan kehilangan dokumen peribadi, komputer riba, wang tunai RM1,000 dengan jumlah kerugian kira-kira RM80,000,” katanya yang dipetik dari MyMetro.

Tambahnya lagi, kanak-kanak itu telah dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan dan usaha mengesan suspek kini giat dijalankan.

“Mangsa berasal dari Pendang dan difahamkan, dia datang ke sini atas urusan keluarga sebelum singgah di stesen minyak itu.

“Kita sudah mengenal pasti suspek di mana seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan curi kenderaan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.- Kedahnews.com