Kantoi Khalwat, Cuba Rasuah Pula


LELAKI Bangladesh cuba merasuah pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) apabila didapati berkhalwat di hotel bajet di Taman Rinting, Pasir Gudang, kira-kira 2 pagi, hari ini.

Malah, akibat terkejut, lelaki berusia 39 tahun itu turut dikatakan terlupa menutup zip seluarnya ketika membuka pintu dan menghulurkan RM90 sebagai dorongan untuk membebaskannya dengan pasangan yang dipercayai tidak berpakaian dan bersembunyi di dalam tandas bilik berkenaan selepas pegawai memperkenalkan diri.

Pasangan berkenaan mengambil masa hampir lima minit sebelum membuka pintu bilik apabila diketuk penguat kuasa dalam Operasi Cegah Maksiat sempena cuti umum Hari Deepavali di beberapa hotel bajet sekitar Permas Jaya dan Bandar Seri Alam, membabitkan 16 anggota dan pegawai penguatkuasa JAINJ.

Sebaik pintu dibuka, lelaki berkenaan ditegur supaya menutup zip seluarnya manakala anggota penguat kuasa wanita dilihat menghulurkan pakaian dalam kepada wanita Indonesia berusia 40 tahun yang bersembunyi di dalam tandas, sebelum lelaki Bangladesh itu tiba-tiba cuba memberikan wang kepada anggota serbuan.

Walaupun ditegur, lelaki berkenaan masih berdegil dan terus cuba memberikan sogokan bagi melepaskan mereka berdua menyebabkan dia ditahan kerana cuba merasuah penjawat awam.

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAINJ, Mohd Hafiz Abdul Rahman berkata, pasangan berkenaan adalah antara 10 pasangan membabitkan 12 lelaki dan 10 wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun yang ditahan dalam operasai cegah maksiat itu.


ANTARA pasangan yang ditahan. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Katanya, mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Seri Alam untuk proses dokumentasi sebelum dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasa JAINJ bagi tindakan lanjut.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 27(1) (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat, jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Semua yang ditahan membabitkan 14 rakyat tempatan, enam warga Indonesia dan masing-masing seorang Bangladesh serta Pakistan. Pemeriksaan mendapati, semua warga asing itu mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Kami akan terus melakukan ops cegah maksiat dari masa ke semasa dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat akan menghubungi pejabat agama berhampiran bagi membantu siasatan,”€ katanya.

Dalam pada itu, sepanjang operasi, kebanyakan pasangan menggunakan taktik sama bagi mengelak dikenakan tindakan seperti lewat membuka pintu sehingga anggota terpaksa mengetuk dan memanggil selama lebih 15 minit dan meminta bantuan penjaga hotel membuka pintu.

Malah, pelbagai alasan sama diberikan pasangan terutama menyewa bilik kerana kepenatan, hanya meminta pasangan mengurutkan badan tanpa melakukan apa-apa serta tidak sempat pulang kerana terlalu lewat.

Dalam serbuan sama juga, tiga lelaki ditahan di dalam satu bilik bersama seorang wanita dengan alasan terlalu penat untuk pulang dan dua lelaki yang juga adik beradik itu hanya menemani mereka sambil bermain permainan video.

Manakala seorang operator kilang di Singapura memberi alasan terpaksa meminta bantuan wanita yang didakwa tunangnya sejak lima bulan lalu, mengurut pinggangnya kerana terlalu letih selepas pulang dari republik berkenaan.

Sumber: MyMetro