ALOR SETAR - Agak menarik! Difahamkan orang kampung bahawa sebuah kapal dagang zaman lampau dipercayai tertanam di sebuah kebun getah di Kampung Asam Jawa, Baling.
Seorang penduduk, Abdul Ghani Yaacob, 76, mendedahkan kawasan tersebut pada suatu ketika dahulu merupakan laluan Sungai Pegang sebelum tertimbus kerana aktiviti pembalakan.
"Ikut cerita orang -orang lama, kapal tu karam kerana terlanggar sebuah batu. Kali terakhir orang kampung nampak batu dalam tahun 60an, sekarang dah jadi kebun getah.
"Hanya kawasan itu jadi kebun getah. Laluan lain masih lagi sungai sampai hari ni, tapi dah semakin kecil dan cetek.
"Sekitar tahun 70an Sungai Pegang masih dalam dan luas," katanya.
Diceritakan bahawa lokasi kapal itu dikenali sebagai Lahar Jong oleh kalangan penduduk dahulu.
Jarak kawasan berkenaan dengan jalan utama Asam Jawa-Baling, hampir satu kilometer.
"Nama Lahar Jong ada kaitan dengan kapal itu tapi tak tahu juga kenapa dipanggil Jong.
"Nama kampung ini pun sebenarnya bukan Asam Jawa tapi Kampung Pegang. Nama Asam Jawa diletak pada tahun 60an," katanya.
Kawasan tersebut kini telah menjadi dusun buah-buahan yang diusahakan oleh penduduk kampung.
Selain itu, cerita mengenai kapal dagang yang tertanam di kawasan tersebut diceritakan secara turun temurun daripada generasi awal kampungnya.
"Ini bukan kisah dongeng, tapi ia adalah sejarah yang pernah berlaku. Sebelum 1930an dah ada cerita ni.
"Saya alu-alukan mana-mana pihak buat kajian. Cukup sayang jika sejarah-sejarah lama dibiarkan macam tu saja," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusuf berkata aktiviti perdagangan di Baling wujud pada zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang memerintah pada 1854 hingga 22 Jun 1879.
"Pada zaman baginda laluan sungai di daerah Baling dijadikan laluan perdagangan.
"Ketika itu seorang usahawan Cina bernama Chiong Kian diberi kebenaran memungut hasil-hasil yang datang dari Pattani melalui Baling.
"Antara hasil-hasil yang dibawa masuk ialah biji timah," katanya.
Berkemungkinan besar laluan sungai di Baling dijadikan kawasan perdagangan lebih awal dari zaman Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah.
Katanya, pada zaman Kapten Francis Light, pelabuhan mula dibina di Pulau Pinang dan berkemungkinan ada kayu balak dari Baling dibawa ke sana.
"Sebelum ini kita ada menemui sebuah perahu besar di Sungai Kuala Ketil pada awal tahun 2000.
"PSMCK bersedia melakukan kajian terhadap kawasan yang dikatakan mempunyai kapal berkenaan," katanya. - Kedahnews.com