Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoal keturunan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam himpunan haram Pakatan Harapan diketuai DAP baru-baru ini membuktikan beliau semakin terdesak.
Ketua Penerangan UMNO negeri Kelantan, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, tindak tanduk Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebenarnya telah merendahkan ilmu pengetahuannya sendiri.
"Sebagai negarawan dan pemikir bangsa kenapa dia (Dr. Mahathir) perlu membenci dan menghina Najib sampai ke tahap itu?
Tindakannya yang membangkitkan soal keturunan menunjukkan dia sudah terdesak dan 'no class'," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di sini semlaam..
Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Datuk Moh Samsudin Yusof.
Dr. Mahathir dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi di Selangor sebelum ini menyebut Najib mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu telah mendatangkan kemarahan masyarakat Bugis seluruh negara dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri tersebut kerana dikatakan menghina kaum berkenaan.
Mengulas lanjut, Md. Alwi berkata, tindakan Dr. Mahathir itu juga boleh memberi kesan kepadanya.
"Bila Dr. Mahathir membangkit soal keturunan, orang boleh mempersoalkan keturunan dia pula, malah keturunan orang lain termasuk sahabatnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
"Kalau mahu membangkit soal keturunan ia tidak akan habis. Namun kita tidak sampai ke tahap itu," katanya.
Sumber : Utusan Malaysia