Kedah Bersemangat Buru Mata, Felda Berhati-Hati


ALOR SETAR - Pasukan Kedah melaungkan keyakinan untuk membawa pulang Piala Malaysia kali ini dan beraksi di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka bersama semangat yang luar bia­sa.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, selepas mengadakan pertemuan dengan barisan pemain Lang Merah baru-baru ini, jelas sekali sema­ngat mereka untuk mempertahankan kejuaraan amat tinggi.

“Kita menaruh kepercayaan kepada Mohd. Nidzam dan pasukannya untuk mara ke perlawanan akhir dan seterusnya bawa balik Piala Malaysia.

“Kita tengok dalam perlawanan dan latihan sebelum ini pemain kita mempunyai semangat luar biasa untuk ke final," ujarnya yang dipetik Utusan Online.

Sementara itu, bagi jurulatih pasukan Felda United, Sathianathan berkata, Kedah adalah pasukan yang kuat dan pemain The Fighters perlu lebih berhati-hati terutama dalam mena­ngani serangan balas lawan yang mampu memerangkap mereka.

Ujar beliau, kemenangan 3-1 ke atas Kedah pada pertemuan terakhir dalam Liga Super 20 September lalu meningkatkan keyakinan anak-anak buah B. Sathianathan untuk mengulangi kejayaan tersebut.

Namun begitu, menurut bekas jurulatih kebangsaan berkenaan, keputusan tersebut tidak boleh menjadi kayu pengukur kerana pengendali Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusof ketika itu merehatkan ramai tonggak utamanya.

"Keputusan perlawanan lalu tidak boleh diambil kira kerana banyak faktor yang berubah dan Kedah pasti akan menurunkan pasukan terkuat untuk mendapatkan kemenangan," katanya ketika dihubungi semalam.

Manakala dalam aksi timbal balik diantara Felda Unied dan Kedah ialah pada 21 Oktober ini di Stadium Darul Aman. - Kedahnews.com