ALOR SETAR - Kedah Best Street Food 3.0 yang diadakan diperkarangan Stadium Darul Aman sejak 26 hingga 29 Oktober ternyata mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Pengerusi Persatuan Pembangunan dan Kemajuan Masyarakat (Forward Kedah), Khairil Hanafi berkata, sebaik dibuka pada jam 10 pagi hingga 12 tengah malam pengusaha makanan jalanan dari 12 daerah di Kedah yang menyertai tidak 'menang tangan'.
Sejak karnival bermula pada 26 Oktober lalu, berjaya menarik lebih 10,000 pelancong ke syurga makanan yang menyediakan hampir 500 pilihan makanan dari setiap daerah di negeri ini.
"Forward Kedah yakin inisiatif diambil adalah bertepatan untuk mengangkat produk tempatan khususnya makanan jalanan tersebut sebagai produk pelancongan menarik ramai ke negeri ini," katanya.
Antara makanan yang paling menarik perhatian dan mendapat sambutan luar biasa ialah Cucoq sekupang dari Daerah Padang Terap, Nasi Daging Hampaq dari Pendang, Burger Ketam Lembut dari Sungai Petani, Satay Cheese dari Pendang.
"Walaupun terdapat hampir 70 gerai makanan, antara makanan yang menjadi viral di media sosial seperti Shellout Chot Tiger, Bihun Sup Kak Mah, Masakan dari Dapur Tok Chah berjaya menambat hati pengunjung.
"Ada yang sanggup beratur panjang untuk menikmati makanan pilihan mereka," katanya.
karnival yang disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail itu turut mendapat pujiannya, jelasnya inisiatif Forward Kedah mengambil langkah berani menganjurkan Kedah Best Street Food yang ketiga di Kedah selepas siri yang pertama diadakan di Kuala Lumpur pada tahun lalu.
"Saya difahamkan hampir 90 penjaja turut dan 70 daripada mereka adalah peniaga makanan dari pelbagai kategori makanan yang datang dari pelbagai daerah di Kedah.
"Karnival ini dilihat terus membantu dan menggalakkan industri pelancongan di Kedah. Kita mempunyai industri makanan jalanan yang aktif dan besar.
"Mungkin disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah gaya hidup masyarakat setempat di samping polis kerajaan tempatan yang agak santai terhadap peniaga di negeri ini," katanya.
Tambahnya, peniaga di Kedah semakin kreatif dalam mereka bentuk persembahan bagi menarik perhatian pembeli seperti Cucoq Udang Dua Beradik, Satay Cheese Shahril, Nasi Daging Hampaq Original dan banyak lagi.
"Pada masa akan datang, peniaga jalanan dari Kedah mampu berkembang merata Malaysia dengan menu-menu yang unik dan menarik seperti mencontohi peniaga dari Thailand yang mampu menerokai industri pemakanan di Malaysia melalui kepelbagaian menu," katanya Ku Abdul Rahman.
Justeru, beliau berharap pengiat industri makanan jalanan di Kedah dapat terus melahirkan menu berkualiti dan kreatif.
"Kita berharap untuk menjadikan Kedah sebagai syurga makanan jalanan akan tercapai dan juga menarik kedatangan pelancong tempatan dan luar negara ke negeri ini.
"Karnival sebegini secara tidak langsung memberi impak kepada industri pelancongan tempatan dalam merancakkan lagi industri pelancongan, sekali gus dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri," katanya. - Kedahnews.com