Kedah Harap Ada Wakil India Dalam Barisan Exco


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berharap agar ada perwakilan dari kaum India dalam barisan majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) selepas PRU14 sebagai tanda mewakili kaum itu dalam menyuarakan hak dan permasalahan mereka.

Kerajaan negeri turut mendedahkan kekalahan calon India pada PRU lalu sebenarnya menjadi punca mereka tidak dilantik mewakili kerajaan dan ia merupakan kerugian bagi kaum India.

“Kalau tiada kaum India yang mewakili dalam kerajaan, rugilah. Kita kena ada wakil kaum-kaum untuk suarakan kepentingan mereka dalam kerajaan untuk sama-sama membuat dasar atau sebarang keputusan,” katanya.

Menurutnya, calon kaum India yang diletakkan bertanding pada PRU14 perlu bekerja keras bagi meraih sokongan lantas memberi kemenangan sekali gus boleh dilantik sebagai exco.

“Sebab itu kita kena bantu mana-mana calon yang kita  letak sama ada kaum India atau Cina yang mewakili BN untuk bercakap bagi pihak kaum India, jadi kaum India kena tengok juga dari sudut ini,” katanya.

Sepanjang dua penggal lalu, calon kaum India yang mewakili BN gagal memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau dan Lunas yang merupakan kawasan majoriti penduduk India. - Kedahnews.com