Kegigihan Allahyarham Maznah Terus Jadi Inspirasi Wanita Kedah - Ahmad Bashah


ALOR SETAR - Kegigihan ahli korporat wanita, Allahyarham Datuk Maznah  Hamid diharap akan terus menjadi inspirasi kepada golongan wanita di negeri Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, Kedah telah kehilangan seorang tokoh wanita yang banyak membantu usahawan wanita Melayu negeri ini.

" Kami juga kehilangan seorang tokoh politik wanita yang gigih dan sentiasa berjuang untuk mengangkat martabat wanita Melayu dalam bidang keusahawan dan perniagaan, " kata Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dalam kenyataannya hari ini.

Allahyarham Maznah, 62 merupakan Ketua Wanita UMNO bahagian Jerlun sejak 20 tahun lalu, Exco Wanita UMNO Malaysia dan pernah mengetuai pergerakan Wanita UMNO Kedah.


Ikon wanita negeri dan negara itu yang mendapat jolokan 'Iron Lady' meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.10 petang semalam.

Menurut Ahmad Bashah lagi, Allahyarham yang juga pengerusi eksekutif syarikat keselamatan akan terus dikenang kerana sumbangan besar beliau dalam pembangunan usahawan dan politikdi negara ini.

"Saya ingin merakamkan takziah kepada keluarganya, semoga rohnya ditempatkan bersama kalangan orang yang beriman, " kata Ahmad Bashah. - Kedahnews.com