Kekang Penguasaan DAP, PAS Sedia Jalin Kerjasama Dengan UMNO


ALOR SETAR - PAS menyatakan kesediaannya untuk menjalin kerjasama dengan UMNO, namun hanya dari aspek pemerkasaan syari'ah Islam, isu kemanusiaan etnik Rohingya dan menyekat kemaraan DAP daripada menguasai persada politik negara.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, konteks tersebut bukan hanya perlu melibatkan kerjasama antara PAS dan UMNO sahaja, bahkan turut melibatkan semua masyarakat Melayu dan pengundi Islam di negara ini.

Jelas beliau, jalinan kerjasama itu perlulah merangkumi "sebelum" dan "selepas" pilihan raya umum yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Kita bukan hanya (bekerjasama) untuk menghadapi pilihan raya, tapi dalam semua aspek yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan orang Melayu. Jadi PAS sedia bekerjasama dengan semua pihak termasuklah UMNO yang menjadi tunjang kepada kerajaan.

"Itu dalam konteks sebelum dan selepas pilihan raya lah. Mesti ada usaha-usaha yang dilakukan untuk menghalang DAP daripada mendominasi politik di Malaysia.

"Ini bukan hanya melibatkan UMNO dan PAS, bahkan seluruh orang Melayu dan pengundi-pengundi Islam mestilah menyedari tentang kepentingan perkara ini dan bahayanya DAP ini kepada politik Malaysia," kata Dr. Zuhdi, memetik kenyataannya kepada sebuah portal.

Walau bagaimanapun Dr Zuhdi berkata, dari aspek menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PAS akan tetap konsisten mengetuai Gagasan Sejahtera untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan.

Jelas beliau, keputusan tersebut adalah sejajar dengan keputusan yang diputuskan pucuk pimpinan PAS sebelum ini.

"Cuma kita pendirian, dalam konteks menghadapi pilihan raya yang akan datang ini, sebagaimana yang kita sudah maklumkan bahawa PAS akan menghadapinya bersama Gagasan Sejahtera. Itu memang sudah disepakati oleh pimpinan PAS bahawa kita akan masuk pilihan raya ini dengan gabungan baru iaitu Gagasan Sejahtera," tegasnya.

Selain itu, Dr Zuhdi turut menegaskan bahawa kerjasama antara PAS dengan UMNO sekiranya berlaku, ia haruskan melangkaui batas kepartian khususnya dalam aspek pemerkasaan Islam dalam pentadbiran negara.

"Kerjasama PAS dengan UMNO, ia bukan hanya satu keperluan pada pilihan raya saja, tapi kerjasama itu perlu melangkaui batas kepartian.

"Maknanya, ia bukan hanya kepada persoalan politik, tapi semua persoalan-persoalan yang lain iaitu ke arah memperkasakan Islam dalam pemerintahan Malaysia dan juga untuk memastikan bahawa sendi-sendi perlembagaan yang berkaitan dengan Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa Melayu, sendi-sendi itu mesti dipertahankan," katanya.

Dr Zuhdi berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat PAS, Datuk Mustafa Ali yang sebelum ini menilai kembali tawaran kerjasama UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

Mustafa berkata, perkara berkenaan adalah alternatif terbaik kepada PAS untuk memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum akan datang seperti yang diusulkan oleh Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa pada awal Oktober lalu.

"Bagi saya wajar menyambut (cadangan kerjasama), dan saya tidak fikir bahawa Annuar akan mengajak PAS untuk menyertai UMNO...kalau ajak menyertai UMNO, saya sendiri juga tidak akan setuju dan tetap akan lawan.

"Jika kita ingin bercakap tentang kerjasama ini, macam konsep 'tahaluf' dan 'tabayyun', saya rasa UMNO dan PAS boleh berbincang untuk kepentingan masa depan negara.

"Tetapi saya tidak nampak sebarang jawapan yang serius dalam pemimpin PAS dan bila tiada respons serius, saya rasa ia sesuatu yang tidak kena," jelas beliau.

Kata Mustafa lagi, sebelum ini kedua-dua pihak pernah berbincang mengenai kerjasama tersebut tetapi hingga kini masih tiada kata putus mengenainya ekoran terdapat terlalu banyak syarat yang dikemukakan dari kedua belah pihak.

"Perbincangan terdahulu terlampau banyak syarat yang dikenakan antara dua-dua belah parti sehingga hasilnya tiada, apa yang harus kita buat ialah bincang dahulu supaya PAS boleh memahami perspektif UMNO dan UMNO juga harus faham perspektif PAS.

"Saya membuat perhatian dan analisis senario di mana semakin hampir dengan pilihan raya umum semakin tidak harmoni politik negara," katanya tokoh politik veteran PAS itu. - Kedahnews.com