Kekayaan Negara Diukur Dengan Rakyat Yang Berilmu - Raja Puan Muda Perlis


ARAU - Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah bahawa kekayaan sesebuah negara bukanlah terletak kepada hasil bumi, besarnya tanah jajahan atau ramainya penduduk negara itu semata-mata.

Baginda selaku Pro-Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) bertitah, sebaliknya, ia terletak pada aspek kebolehan dan kemahiran untuk membina tamadun bangsa melalui ilmu pengetahuan.

“Kelebihan menguasai disiplin ilmu kejuruteraan misalnya, menjadi ‘nilai tambah’ yang mampu menghasilkan teknologi, produk inovatif malah mempopularkan penemuan teknologi baharu yang sedang membangun contohnya bidang tenaga hijau seperti solar dan geopolimer,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa menyempurnakan Sidang Kedua Istiadat Konvokesyen Ke-12, Unimap di Dewan Ilmu Kampus Alam Pauh Putra, dekat sini petang semalam.

Keberangkatan baginda disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Datuk Dr. Mohd. Sofi Osman dan Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Seramai 590 orang graduan Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) dalam jurusan Sistem Elektrik, Elektronik Industri, Elektrik Sistem Tenaga, Bahan, Metalurgi, Polimer, Mikroelektronik, Elektronik dan Fotonik menerima ijazah masing-masing daripada baginda.

Sumber: Utusan Online