TAPAH - Ahli keluarga sembilan mangsa yang maut dalam nahas membabitkan van dan lori hadir ke bilik mayat Hospital Tapah untuk membuat pengecaman bermula jam 9 pagi semalam.
Ada di antara mereka menangis hiba dan meraung kesedihan melihat keadaan mangsa.
Setakat ini, hanya seorang mangsa dapat dikenal pasti identiti iaitu pemandu van, Lew San Jau, 32, beralamat di Kampung Baru Malim Nawar.
Kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu membabitkan sebuah van dan lori muatan ais di Kilometer 45 Jalan Teluk Intan-Ipoh.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliau berkata, lapan wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 32 hingga 60 tahun yang merupakan penumpang dan pemandu van disahkan maut di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu lori berusia 22 tahun pula parah dan patah kaki.
"Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan van terbabit," katanya.
Beliau berkata, semakan rekod lampau, mendapati kedua-dua pemandu tidak mempunyai sebarang rekod saman tertunggak.
Semua mangsa dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tapah.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota tiba di lokasi mendapati, seorang penumpang van tercampak keluar sementara yang lain tersepit dalam kenderaan.
"Operasi menyelamat diketuai Saiful Hanif Mahmad Ayub tamat sekitar jam 8.45 pagi," katanya.
Sumber: Sinar Online
