Kena Dakwa Jawab ‘Soalan Bocor’, Ini Respon Shazana…


BARU sahaja reda mengenai isu penarikan diri salah seorang peserta Clever Girl Malaysia, Noor Syakirah Mohd. Azam (Kiera), sekali lagi program ini menjadi bualan orang ramai.

Terkini, timbul satu lagi kontroversi yang melibatkan program ini di mana salah seorang finalist dari negeri Selangor, Shazana Kamaruzaman didakwa menjawab ‘soalan bocor’ dalam episod lepas.

Ia malah tular apabila rakaman video yang memaparkan Shazana telah meneka secara tepat tanpa mendengar sepenuhnya pilihan jawapan dibaca oleh tetamu jemputan Datin Sharifah Shawati.

Susulan itu, secara tidak langsung netizen mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan rancangan terbabit.

Rata-rata antara mereka mendakwa rancangan berkenaan seolah-olah telah memberikan jawapan bocor kepada salah seorang peserta dalam pusingan separuh akhir.

Selain itu, mereka juga beranggapan bahawa Shazana sudah mengetahui jawapan untuk soalan itu terlebih dahulu.

Lapor sebuah portal online, Shazana menjelaskan bahawa jawapan yang diberikan ketika itu adalah berdasarkan pengetahuan yang diperoleh melalui pembacaan sebelum ini.

“Memang pada mulanya saya mahu menjawab A tetapi ketika menekan buzzer, jawapan untuk B sudah dibaca. Jadi saya teringat kembali melalui pembacaan saya sebelum ini jawapan untuk soalan itu adalah B,” jelas Shazana.

Dalam pada itu, gadis ini dilaporkan turut menyelar semua dakwaan daripada mana-mana netizen yang mengatakan dia sudah terlebih dahulu tahu mengenai jawapan untuk soalan itu.

“Apa yang tular mungkin mereka tidak dengar jawapan B sudah dibaca. Jujurnya memang bidang sastera bukan kepakaran saya.

“Sebab itu bila Alif Satar minta saya baca kembali jawapan saya tidak boleh ulang sebab tidak dapat ingat dengan betul tajuk sebenar karya Datuk Usman Awang itu,” katanya.

Sementara itu, Shazana dikatakan turut menerima kecaman teruk daripada netizen yang tidak berpuas hati di laman sosial miliknya.

“Saya mendapat banyak komen yang tidak berpuas hati, tetapi ini tidak mematahkan semangat saya. Pengajaran yang saya dapat adalah untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan,” ujar gadis ini.

Apa-apa pun, jangan lupa saksikan pusingan akhir program Clever Girl musim kedua hari Jumaat ini, bermula daripada pukul 9 malam hingga 10 malam, hanya di TV3!

Agaknya gadis dari negeri manakah yang bakal bergelar juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000? Nantikan!

Sumber - MYNEWSHUB