Kenapa Hadi Awang Mahu Mahathir Bertaubat?


PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad bertaubat kerana bekas perdana menteri itu menjadi punca sistem negara rosak sejak sekian lama.

Hadi menyifatkan pemimpin pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) yang kini menyokong Mahathir umpama membenarkan segala kerosakan yang dilakukan sebelum ini di mana hak dan kuasa raja dilemahkan dan memerintah secara diktator.

“Selayaknya Mahathir bertaubat kerana dialah penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator.

Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankansalah lakunya,” kata beliau yang dipetik dalam Sinar Harian hari ini.

Hadi juga mendakwa Mahathir tidak jujur dalam kempen selamatkan Malaysia yang dilaungkannya kerana dilihat lebih bersifat peribadi dan mempunyai kepentingan untuk diri sendiri.

“Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah, Bersatu (PPBM) adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir,” katanya.

PAS bukan sebahagian daripada gabungan 4 parti itu, yang kini menunggu kelulusan supaya dapat bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang menggunakan satu logo.

Hadi turut meluahkan keyakinan PAS akan menerima sokongan kuat pada PRU akan datang.
“Orang Melayu bersama PAS,” katanya.

“Kita perlu sedar undi teras politik Malaysia adalah Melayu. Mana-mana parti yang mahu jadi pemerintah mesti dapat undi Melayu dan kita lihat Bersatu (PPBM) dan PAN tidak dapat menarik undi Melayu kepada Pakatan Harapan, cuma PAS perlu juga melibatkan bukan Islam yang masih tidak fanatik perkauman.” kata Hadi lagi.

Sumber: Harakahdaily,MalaysiaGazette