ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah mencabar kepimpinan Pakatan Harapan termasuk pengerusinya Tun Dr Mahathir untuk menyatakan pendirian berhubung isu pengajuran pesta arak di Selangor yang kini dipertahankan oleh DAP.
Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan sikap ‘membisu’ pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) seperti Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bukti mereka 'menyetujui' keputusan DAP.
“Paling menyedihkan, ketiga-tiga pimpinan PPBM yang sebelum ini terkenal dengan imej ‘ultra Melayu’ terpaksa tunduk kepada sebuah struktur politik yang anti-Melayu dan Islam semata-mata atas dendam politik yang amat mendalam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, sikap kepimpinan DAP ketika ini yang secara konsisten ‘menyanggah’ sebarang bentuk pendekatan Islamik adalah bukti jelas bahawa mereka bersikap chauvinis dan anti-Islam.
“Pendirian terbaharu pemimpin DAP yang mahu pesta arak dianjurkan secara besar-besaran dan terbuka adalah satu perkara yang sama sekali tidak dapat diterima, " katanya.
“Umum sedia mengetahui status Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan penganjuran festival itu sedikit sebanyak akan mencemarkan identiti negara,” kata Saiful Hazizy yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia.
.
Menurut beliau lagi Pemuda UMNO Kedah juga kecewa akan sikap beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang berketurunan Melayu dan Islam mengambil pendirian menjadi pak turut dalam isu itu.
Apakah sikap berdiam diri itu berlaku atas dasar ‘ketakutan’ luar biasa pemimpin ini kerana bimbang tidak mendapat sokongan untuk terus berkuasa di negeri tertentu, " tanya Saiful Hazizy.
“Bagi Pemuda UMNO Kedah, pemimpin-pemimpin ini jelas mengkhianati agama dan bangsa mereka demi kuasa politik,” tegasnya.
Pihaknya juga yakin penentangan keras PAS terhadap festival itu adalah tindakan rasional dan atas dasar yang cukup kukuh.
“Namun apa yang paling mengejutkan adalah tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang seolah-olah memberi 'lampu hijau' terhadap penganjuran pesta itu,” katanya. - Kedahnews.com