Kerajaan Sentiasa Cari Jalan Pastikan Pendapatan Rakyat Meningkat


KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa mencari jalan untuk memastikan pendapatan rakyat meningkat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan pertengahan, selaras usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha kerajaan mula menampakkan hasil apabila pendapatan rakyat dalam kumpulan berpendapatan rendah B40 dan pertengahan M40 meningkat dengan begitu ketara.

"Malah, kadar kemiskinan terus menurun," kata Najib dalam catatan terbaru di blog NajibRazak.com mengenai pendapatan rakyat.

Kumpulan B40 merujuk kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,860 manakala M40 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,860 hingga RM8,319.

Najib berkata menurut EPU atau Unit Perancang Ekonomi, purata pendapatan seisi rumah kumpulan B40 meningkat sebanyak 76 peratus pada tahun 2014 sejak tahun 2009 manakala untuk golongan M40 pula, purata pendapatan seisi rumah meningkat hampir 60 peratus untuk tempoh yang sama.

Dari segi purata pendapatan pekerja, dalam setiap sektor, kaji selidik Jabatan Perangkaan menunjukkan peningkatan pendapatan sebanyak 20 peratus pada tahun 2016 dalam tempoh 3 tahun sebelumnya, kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Ini antara tanda yang kedudukan kewangan pekerja secara keseluruhannya semakin baik," katanya.

Menurut perdana menteri, meskipun peningkatan itu merupakan kejayaan inisiatif kerajaan seperti program peningkatan pendapatan di luar bandar, kenaikan gaji minimum, dan juga pelbagai program keusahawanan, namun semangat daya saing dan usaha keras rakyat untuk meningkatkan pendapatan mereka merupakan penyumbang terbesar kejayaan itu.

"Oleh demikian, pupuklah semangat daya saing atas dasar yang kita percaya bahawa yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang.

"Sama-samalah kita bangunkan ekonomi negara kerana ia tidak dapat dijayakan dengan usaha satu pihak sahaja," kata perdana menteri. - BERNAMA