Kerja Tak Sampai 45 Jam Seminggu, Siapa Kata Guru Terbeban?


ALOR SETAR - Hanya mengajar dan menjalankan urusan tidak sampai 45 jam dalam seminggu, waktu guru di sekolah dianggap sebagai tidak membebankan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, guru-guru di negara ini sebenarnya tidak dibebankan dengan waktu kerja seperti ang ditetapkan agensi antarabangsa.

“Mengikut laporan International Level Organization (ILO) seseorang itu bekerja dia tidak boleh melebihi daripada 45 jam, dan daripada jumlah yang kita kira, waktu mengajar guru dan waktu-waktu lain (berada di sekolah) itu tidak sampai 45 jam seminggu.

“Cuma barangkali ada perkara yang disebut oleh yang berhormat (YB) ada kaitan antara guru itu dan kerja bukan hakiki,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Idris Ahmad (Pas - Bukit Gantang).

Idris sebelum ini menyoal kementerian berkenaan bebanan tugasan guru di sekolah hingga membuatkan golongan itu tidak cukup masa mendekati pelajar sehingga mengakibatkan pelajar terjerumus dalam masalah displin.

Jelasnya, pihak kementerian boleh menyenarai secara spesifik  jumlah tugasan yang dibuat guru selain mengajar sepenuhnya dalam bilik darjah, terutama membuat kerja masukkan data.

“Perkara ini akan diambil kira oleh kementerian dan kita akan perhalusinya,”katanya.

Masalah disiplin pelajar yang berlaku pada ketika ini dan paling serius yang berlaku dalam kalangan murid dan pelajar sekolah ketika ini adalah membabitkan gangsterisme, penyalah gunaan dadah, buli dan ponteng sekolah.

Ianya turut berpunca akibat pengaruh dunia luar, media massa, kurang perhatian dari ibu bapa dan banyak lagi.

Malah, kementerian mempunyai 5.1 juta pelajar di seluruh negara, hanya 442 pelajar dibuang sekolah kerana terlibat dalam masalah displin.

“Meskipun jumlah itu kecil, kementerian tidak pernah melihat perkara itu remeh, bahkan kami sentiasa berusaha membendung penularan masalah displin dengan kerjasama guru dan masyarakat.

"Ia membabitkan agensi seperti Polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Katanya, apa jua tindakan yang diambil seboleh-bolehnya tidak akan sampai sehingga pelajar dibuang sekolah. - Kedahnews.com