AKTOR hebat Hollywood Kevin Spacey akhirnya mengakui dia merupakan seorang lelaki bernfasu songsang (gay), setelah seorang pelakon lelaki mendedahkan Spacey pernah melakukan gangguan seksual terhadapnya kira-kira 30 tahun lalu.
Anthony Rapp membuat pendedahan bahawa Spacey telah menghempap tubuhnya secara seksual seperti mahu menggoda Rapp yang ketika itu hanya berusia 14 tahun.
Spacey dan Rapp berlakon bersama-sama dalam pementasan Broadway bertajuk Long Day’s Journey Into Night pada tahun 1986.
Malu dengan pendedahan tersebut, aktor berusia 58 tahun itu kemudiannya memohon maaf secara terbuka kepada Rapp yang kini sudah pun menjadi pelakon filem-filem terkenal seperti Star Trek: Discovery dan Beautiful Mind.
“Jujurnya saya tidak dapat mengingati insiden tersebut pernah berlaku. Tetapi jika benar saya melakukan sebagaimana yang didakwa Rapp, jadi saya terhutang permohonan maaf ikhlas dari lubuk hati saya kepadanya. Saya mungkin sedang mabuk ketika itu,” jelas Spacey.
Sambil menyelam minum air, alang-alang tu Spacey turut membuat pengakuan terbuka mengenai orientasi seksualnya.
“Insiden itu turut memberi semangat untuk saya jelaskan satu perkara mengenai kehidupan saya… Saya telah menyintai dan mempunyai hubungan romantik bersama-sama lelaki sepanjang hidup saya dan kini saya memilih untuk menjalani kehidupan sebagai lelaki gay,” tulis Spacey lagi di dalam kenyataan rasminya.
Macam-macam dunia sekarang ni. Yang dah bertahun-tahun berlakon jadi bapa orang dan suami yang macho tu pun rupa-rupanya geng ‘kunyit’! - Kedahnews.com