KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee menyambut baik perancangan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menghantarnya menimba ilmu kejurulatihan di kelab terkenal Sepanyol Atletico Madrid.
Beliau berkata, ia peluang terbaik untuk dirinya meningkatkan lagi pengetahuan secara mendalam bukan saja daripada aspek latihan dan taktikal malah pengurusan bola sepak moden.
“Saya mendapat tahu menerusi laporan sebelum ini mengenai perancangan TMJ (Tunku Mahkota Johor) Tunku Ismail untuk menghantar saya dan penolong jurulatih (Brad Maloney) ke Sepanyol. Sememangnya saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan ini kerana ia bukan mudah untuk kita menimba pengalaman dengan kelab besar seperti Atletico Madrid.
“Buat masa ini belum ada perbincangan lanjut mengenai perancangan ini tapi sudah pasti saya sentiasa bersedia untuk ke luar bagi meningkatkan kepakaran. Ini kerana saya percaya ia dapat membantu saya dalam menguruskan pemain muda dalam pasukan negara,” kata Kim Swee.
Mengikut perancangan awal yang didedahkan oleh Tunku Ismail, beliau mahu menempatkan Kim Swee dan Maloney bersama kelab gergasi La Liga itu selama sebulan meskipun mereka kini dalam proses akhir untuk memuktamadkan kontrak baru yang bakal tamat Disember ini.
Sebelum ini jurulatih kelahiran Melaka itu pernah mengikuti latihan kejurulatihan bersama kelab Liga Kejuaraan yang berpangkalan di London Queens Park Rangers (QPR) selama sebulan pada Februari tahun ini. Kim Swee mengakui pengalaman yang dilalui bersama QPR sedikit sebanyak membantunya dalam membimbing pasukan melepasi kelayakan Kejohanan AFC B-22 di Bangkok Julai lalu dan meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos.
Namun bekas pengendali Harimau Malaya itu membayangkan latihannya di Sepanyol itu mungkin akan diadakan selepas pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China pada Januari tahun depan.
“Saya fikir masa agak singkat sekarang kerana saya perlu membuat persiapan pasukan sebelum ke China mungkin selepas kejohanan itu rancangan latihan di Sepanyol boleh dilakukan,” kata Kim Swee.
Sumber: MyMetro