Kos Perundingan Sahaja Sudah RM305 Juta, Mana Laporannya?


ALOR SETAR - Kementerian Kerja Raya sehingga kini masih menunggu dan tertanya-tanya tentang laporan kajian projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang belum diterima sebagaimana yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang 18 bulan yang lepas.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kos laporan perundingan "luar biasa" yang dikatakan mencecah harga RM305 juta itu juga membuat pihaknya teruja untuk meneliti projek Kerajaan Negeri pimpinan Lim Guan Eng itu.

Menurut Fadillah, Guan Eng pada mulanya berjanji untuk menyerahkan laporan itu pada akhir tahun lalu.

Namun begitu, atas permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga, ia kemudian telah ditunda kepada enam bulan lagi selepas kementerian sekali lagi bertanya mengenai laporan tersebut pada Mac tahun ini.

Walau bagaimanapun, Guan Eng memberi alasan sekali lagi memberi alasan kepada kementerian bahawa kajian mengenai projek itu masih hanya 87 peratus dan akan mengemukakan laporan tersebut setelah kajian selesai dijalankan.

"Sekali lagi tarikh akhir itu telah berlalu dan sehingga hari ini, kita belum menerima satu halaman pun laporan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Selain itu, Fadillah turut menyatakan bahawa "misteri" penangguhan itu sangat luar biasa kerana projek tersebut mengambil masa terlalu lama hampir sepenggal pilihan raya dan telah ditawarkan pada April 2013.

"Laporan kajian kebolehlaksaan projek terowong yang melibatkan kos RM305 juta belum siap walaupun sekurang-kurangnya RM220 juta telahpun dibayar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya mempersoal bayaran yang telah dibuat, namun laporan masih lagi belum siap.

Beliau berkata kementerian telah meminta laporan itu sejak April tahun lalu selepas Lim dalam surat kepada beliau meminta untuk menukar pembinaan terowong kepada jambatan.

"Saya memberitahu Lim bahawa kementerian tidak boleh memberi kelulusan berdasarkan surat dua muka surat dan meminta mereka menghantar kajian kebolehlaksanaan dan reka bentukmengenai ketiga-tiga jalan dan terowong yang melibatkan RM305 juta untuk kos perundingan sahaja," ujar beliau, kesal dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang itu.

Fadillah menjelaskan bahawa pihak kementerian sangat berminat dan ingin melihat laporan tersebut yang kos bagi kajiannya adalah terlalu mahal berdasarkan pengalaman kementerian menilai projek-projek di negara ini.

Kata beliau, Lembaga Jurutera pada awal tahun ini telah membuat pengiraan semula terhadap projek berkenaan dan mengejutkan ia mendapati bahawa harganya adalah 400 peratus lebih tinggi daripada harga yang diwartakan.

Beliau turut membidas Kerajaan Negeri bahawa jika situasi yang sama berlaku pada projek-projek kerajaan Persekutuan, maka Kerajaan Pusat sudah tentu dikritik hebat oleh pihak pembangkang dengan dakwaan berlaku amalan rasuah atau kronisme.

Kritikan yang menjurus kepada propaganda politik pembangkang itu dipercayai bagi menimbulkan kebencian dan mencetus persepsi negatif rakyat terhadap Kerajaan BN yang mentadbir negara. - Kedahnews.com