KPDNKK Rampas Tudung Tiruan Bernilai RM500,000


KUALA LUMPUR – Sejumlah kain tudung dan selendang tiruan menggunakan jenama terkenal yang dianggarkan bernilai RM500,000 dirampas dalam satu serbuan di sebuah pasar raya di ibu kota, petang semalam.

Ketua Unit Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya Ridzuan Mat Isa berkata 15 anggota terlibat dalam serbuan di sebuah premis di dalam pasar raya tersebut berikutan aduan yang dibuat pemilik jenama Ansania dan Saudia itu, kira-kira tiga bulan lepas.

“Hasil siasatan mendapati, selain menjual tudung tiruan, premis ini turut beroperasi sebagai pemborong utama untuk pasaran tempatan.

Premis ini juga telah beroperasi selama lebih tiga tahun manakala tudung berjenama tiruan ini pula dijual sejak setahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir.

Beliau berkata, setiap tudung atau selendang yang tulen dijual pada harga RM14 namun tudung jenama tiruan dijual dengan harga yang lebih murah iaitu RM10 sahaja.

Ridzuan berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh dikenakan penalti sebanyak RM 15,000 bagi sehelai tudung tiruan yang dijual di bawah Seksyen 8(2) Akta Perihal Perdagangan 2011. – BERNAMA