Lagu Duka Iringi Pulau Pinang Ke Liga Perdana


BATU KAWAN - 'Selamat tinggal liga super dan selamat datang liga perdana'. Itulah antara lirik lagu luahan rasa kecewa penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang setelah tersingkir ke kancah Liga Perdana pada musim hadapan apabila tewas 1-3 di tangan Selangor di Stadium Negeri Pulau Pinang di sini malam tadi.

Penyokong Pulau Pinang berhak untuk berasa kecewa dan berduka dengan prestasi pasukan apabila hanya berjaya meraih 12 mata setelah berakhir saingan Liga Super 2017. 

Sudahlah kalah sebanyak 16 kali, seri 3 kali dan menang hanya 3 kali dan terperosok di dasar liga dengan prestasi permainan yang tidak memberangsangkan. 

Pada awal permainan penyokong mulai menyanyikan lagu mempersenda kredibiliti Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) dan reaksi kecewa semakin pedih setelah  pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi lambungan cantik Andik Vermanshah pada minit ke-25 yang menewaskan penjaga gol Pulau Pinang Amirul Asyraf Mohd. Suhaidi.

Skuad Harimau Kumbang menyamakan kedudukan pada minit ke-49 menerusi Muhd. Jafri Firrdaus Chew nasmun skuad Gergasi Merah kembali di hadapan dua minit kemudian hasil jaringan pemain import Rufino Segovia.

Rufino meranapkan sisa-sisa perjuangan tuan rumah pada minit ke-62 hasil situasi kelam kabut  di depan pintu gol Pulau Pinang.

Tuan rumah hampir menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74 namun gagal disempurnakan oleh Mohamed Syamer Kutty Abba.

Sumber: Utusan Online