Lega... Selesai Cerai, Tiada Lagi Dendam


PENYANYI Hafiz Hamidun lega akhirnya krisis rumah tangga dia dan Joy Revfa akhirnya selesai apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Petaling, pada Rabu. 

Hafiz,33, berkata, dia tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap wanita itu biarpun kontroversi perbalahan mereka mendapat liputan meluas media tempatan. 

"Ini bukan pilihan tapi dengan perceraian ini ia boleh menamatkan episod yang sangat panjang. Bukan satu hari tapi berbulan-bulan. 

"Saya maafkan dia dan secara peribadi juga meminta maaf kepadanya tentang apa yang berlaku. Dia ada kesalahan dan tidak perlu kita bangkitkan lagi. 

"Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. Saya juga tidak menyimpan sebarang dendam," ujarnya kepada mStar Online. 

Hafiz melafazkan cerai terhadap Joy atau Siti Arifah Mohd Amin, 30, di hadapan Hakim Syarie, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shukran Yusof petang Rabu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 1 Mei lalu.

Joy mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun hasil perkahwinan terdahulunya.

Selain itu, tambah Hafiz dia ingin meneruskan kehidupan baharu dan kembali memberi fokus terhadap perniagaan dan muzik.

Dia juga percaya, apa yang terjadi mempunyai hikmah tersendiri buat dirinya dan menjadi pelajaran kepada orang lain yang mengikuti isu berkenaan.

"Saya percaya apa yang berlaku ini ada hikmah tersendiri kepada saya dan keluarga. Paling penting ia memberi pengajaran yang sangat berharga buat saya dan orang-orang lain juga," ujarnya.

Sementara itu, Joy berkata, apa yang berlaku sudah tertulis dan perceraian yang berlaku merupakan jalan terbaik.

Joy juga berharap netizen dan orang ramai berhenti memberi komen negatif terhadap dirinya.

"Alhamdulillah semuanya sudah selesai dan orang di luar sana jangan memberi komen-komen negatif lagi.

"Saya mahu meneruskan kehidupan dengan anak saya seperti biasa dan Insya-Allah saya akan menunaikan umrah dalam masa terdekat," ujarnya. 

Konflik rumah tangga Joy dan Hafiz tercetus selepas Hafiz berasa ragu-ragu dengan status perkahwinan mereka apabila Joy gagal menyerahkan sijil perceraian perkahwinan pertamanya.

Pada Ogos lalu, Joy memfailkan permohonan faraq iaitu pembubaran perkahwinan di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling Subang Bestari. 

Sumber: Mstar Online