LONDON - Seorang lelaki terlepas dari hukuman penjara atas dakwaan mencabul seorang wanita di bilik persalinan sebuah gimnasium dalam keadaan berbogel.
Dalam satu kenyataan membela diri di mahkamah, Sean Bigby, 35, mendakwa testosteron dan minuman protein yang diambilnya membuatkan dirinya tidak dapat berfikir dengan waras dan bingung dalam tindakannya, lapor portal berita Daily Mail UK.
Dalam kejadian di pusat kecergasan Clissold Leisure Centre di Stoke Newington itu, Bigby telah mendekati seorang perenang wanita dan menyentuh punggungnya ketika wanita itu sedang mencuci tangan di dalam bilik persalinan wanita.
“Mangsa pada mulanya ternampak Bigby yang berbogel memasuki bilik persalinan itu namun menganggap dia tersilap pintu.
“Namun, setelah menyedari tubuh mangsa disentuh, dia terkejut dan menjerit,” ujar pendakwa raya, Michael Williams.
Kes itu kemudiannya dilapor kepada petugas gimnasium dan juga pihak berkuasa.
Dalam perbicaraan tersebut, Bigby mengakui ‘keliru dan tidak dapat berfikir dengan waras’ sejak mengambil dos testosteron dan minuman protein.
Peguambela yang mewakili Bigby, Alexander Taylor-Camara, pula berkata kelakuan anak guamnya ‘di luar kebiasaan’ kerana ‘di bawah pengaruh ubat-ubatan untuk menyokong aktiviti kecergasannya’.
“Campuran bahan yang diambilnya mengganggu kewarasan mentalnya ketika itu,” ujarnya.
Bigby bagaimanapun mengaku bersalah atas tuduhan pencabulan tersebut.
Meskipun terlepas hukuman penjara, hakim mahkamah Karim Khalil, menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat selama 11 dan membayar kos pendakwaan sejumlah 1,200 Euro serta diperintah membayar 750 euro lagi kepada mangsa.
Sumber: Astro Awani