Lelaki Didenda Buat Kecoh Di Khalayak Tanpa Pakai Baju


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warganegara India didenda RM25 oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini kerana membuat huru-hara di khalayak ramai tanpa memakai baju di pekarangan sebuah pangsapuri.

Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu ke atas R.Selvaraj, 33, selepas tertuduh mengaku bersalah telah mabuk dan berkelakuan kurang sopan di tempat awam dengan tidak berbaju membuat huru-hara di perkarangan Flat Taman Dato Ahmad Razali, Bandar Baru Ampang, di sini pada 8.30 malam, 5 Oktober lepas.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lima hari jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM25 atau penjara sehingga 14 hari dan bagi kesalahan kedua serta seterusnya denda maksimum RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Selvaraj yang dalam keadaan mabuk tanpa memakai baju telah membuat bising dan huru-hara sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Ketika rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dan mengakui dalam keadaan mabuk ketika melakukan perbuatan itu namun Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan kerana perbuatan yang dilakukan tertuduh di tempat awam adalah tidak wajar.

Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Selvaraj  mengaku tidak bersalah mengugut untuk membunuh kenalan wanitanya S.Sugunavathy, 48, seorang wanita warga tempatan dengan berkata “saya akan bunuh kamu selepas itu saya bunuh diri. Kalau saya tidak bunuh kamu, saya akan baling asid kepada kamu” dan  mengugut membunuh dirinya sendiri di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Raihanah menawarkan wang jaminan RM7,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Haslinda membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan  serta menetapkan 10 November untuk sebutan semula kes. - Bernama