Lelaki Maut Dipukul Lelaki Sakit Mental


TUMPAT - Seorang lelaki maut akibat dipukul dengan kayu oleh seorang lelaki dipercayai mengalami masalah mental di tepi tali air di Kampung Ana di sini, kira-kira jam 10 malam tadi.

Mayat Mohd Khairi Mohd Yusof, 47, ditemui penduduk kampung dalam keadaan terlentang dengan pendarahan di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman, berkata susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang mengalami masalah mental sejam kemudian.

"Berdasarkan maklumat awam, suspek berusia 29 tahun dilihat menunggang motosikal milik mangsa dengan kesan darah di baju sebelum berhenti di kedai makan sebelum berlaku pertengkaran dengan orang kampung yang curiga dengan gelagatnya.

"Suspek kemudian melarikan diri sebelum ditahan oleh polis kira-kira tiga kilometer dari lokasi pembunuhan," katanya ketika ditemui di lokasi.

Suspek kemudian menunjukkan lokasi pembunuhan dan anggota polis menemui mayat mangsa.

Siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari kampung itu memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Sumber: Berita Harian