Lelaki Maut Terjatuh Dari Tingkat 10 Bangunan Hotel


PORT DICKSON - Seorang lelaki berusia 40 tahun ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat 10 sebuah bangunan hotel di Port Dickson, sekitar jam 2.05 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat lelaki berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati, mangsa dipercayai terjun dari tingkat 10, berdasarkan kesan selipar pada tepi bangunan. Siasatan pada tubuhnya pula menemui tanda suntikan BCG (Bacillus Calmette-Guerin) di tangan kiri dan tidak menolak kemungkinan ia warga Malaysia.

“Mangsa dipercayai berbangsa Cina,” katanya.

Zainudin berkata, polis menerima maklumat penemuan mayat daripada pengurus hotel berkenaan.

“Setakat ini tiada saksi bebas yang melihat bagaimana kejadian berlaku. Sementara rakaman CCTV (kamera litar tertutup) hanya merakam mangsa telah jatuh di tempat kejadian, kira-kira jam 2.04 petang,” katanya.

Zainudin berkata, mangsa cedera teruk di bahagian atas kepala, kaki kanan patah selain cedera di tangan kiri.

“Forensik polis juga mengadakan siasatan di lokasi kejadian dan mengesahkan tiada unsur jenayah dalam insiden ini. Mayat dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara pengurus hotel berkenaan memaklumkan, siasatan awal mendapati tiada sebarang maklumat boleh dikaitkan yang lelaki itu tetamu hotelnya.

Sumber: Sinar Harian