ALOR SETAR - Seorang lelaki tidak bernyawa ditemui dalam keadaan terlentang dengan kaki terlipat ke belakang bersebelahan motosikalnya di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran kawasan Hi Tech, Kulim, pada Sabtu.
Menurut saksi yang bekerja sebagai penyelia ladang, Mohd Bukhari Selaiman, 33, ketika kejadian dia sedang menjalankan rondaan sekitar ladang sebelum menemui mangsa kira-kira jam 1.40 petang.
“Ketika saya melalui laluan alternatif yang sering digunakan penduduk kampung dan orang ramai untuk ke kawasan Hi Tech, saya ternampak motosikal terbalik tepi jalan.
"Saya kemudian berhenti memeriksanya dan ternampak tubuh lelaki dalam keadaan terlentang dengan kedua-dua kakinya terlipat ke belakang.
“Saya cuba panggil beberapa kali, namun tidak berjawab. Saya kemudian terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu," katanya yang dipetik dari MyMetro.
Mohd Bukhari berkata, pihak polis yang tiba kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati lelaki lingkungann 60-an tersebut sudah meninggal dunia.
Tambahnya lagi, laluan alternatif itu jarang dilalui oleh orang ramai kerana keadaan jalan tidak berturap.
“Saya tidak pernah nampak mangsa di kawasan ini dan baru pertama kali melihatnya," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya. - Kedahnews.com