Lembaga Zakat Kedah Puji Tindakan Potongan Gaji Bayar Zakat


ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) memuji tindakan guru dan kakitangan sekolah tertentu yang sanggup membuat potongan gaji zakat pendapatan hingga mencecah RM1,000 sebulan.

Ketua Jabatan Agihan dan Pembangunan Asnaf LZNK, Hamidi Mohd Nor berkata, tindakan sedemikian adalah satu contoh teladan yang baik harus diikuti semua.

“Antaranya, Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC) yang mengambil inisiatif itu. Bagi pihak Zakat Kedah, kita memang alu-alukan bayaran zakat sedemikian.

“Jikalau boleh, kita harap lebih ramai mengambil langkah serupa dengan membuat bayaran zakat melalui potongan gaji ini berbanding membayar sendirian,” katanya.

Menurutnya, kaedah potongan gaji untuk bayaran zakat itu sebenarnya membolehkan guru dan kakitangan terlibat berpeluang menyumbang bakti kepada institusi tempat perkhidmatan mereka.

"Lebihan bayaran zakat terbabit akan disalurkan semula kepada sekolah terbabit antaranya bantuan untuk pelajar susah dan pembinaan bangunan surau," katanya.

Malah katanya, golongan itu wajar melaksanakan pembayaran zakat melalui potongan gaji disediakan di tempat kerja itu kerana mampu memberi manfaat kepada banyak pihak, khususnya sekolah berkaitan.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan pakaian seragam dan beg sekolah kepada 60 pelajar tingkatan satu hingga enam sekolah itu yang kurang berkemampuan.

Katanya, sumbangan sedemikian diharapkan membantu meringankan bebanan pelajar sekali gus memberi peluang belajar dengan selesa dengan rakan sekolah lain.

Sumber: Sinar Harian