Lepas SRK, Humood Alkhudher Pula Layan ' Kak Girl'


PETALING JAYA - Belum lagi hilang kejutan selepas videonya mendapat respon daripada bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan (SRK) minggu lalu, personaliti ini teruja pula dengan sambutan daripada seorang penyanyi terkenal dari Kuwait.

Kali ini, videonya melakukan aksi gerak bibir atau 'lip sync' sambil menari di dalam kereta, dengan memetik lagu 'Kun Anta' nyanyian Humood AlKhudher.

Penangan 'Kun Anta' pernah mencetuskan fenomena dua tahun lalu, apabila video penyanyi itu dikongsi hampir seluruh dunia di laman sosial, selain ramai peminat Malaysia melakukan rakaman semula lagu tersebut menerusi aplikasi Dubsmash.


"Saya menyukai video ini! Dan saya menyukai gaya dia yang langsung tidak menunjukkan ekspresi wajah!," kata Humood di Instagramnya dengan berkongsi video aksi lincah Nur Amira Maslan, sambil merujuk ekspresi tersebut kepada gaya suaminya yang bersahaja.

Lebih dikenali sebagai 'Kak Girl', penyampai radio Best FM ini terharu dengan sambutan yang diberikan oleh Humood terhadap videonya.

Humood Alkhudher berkongsi video aksi 'lip sync' Nur Amira yang menyanyikan lagu 'Kun Anta' di akaun Instagram penyanyi itu.

Minggu lalu, video Nur Amira yang memetik lagu Bole Chudiyan daripada filem Khabi Kushi Khabie Gham yang dibintangi SRK, mendapat respon Raja Bollywood itu di Twitter.

"Masa SRK 'retweet' (ulang kicau) video saya, rasa macam nak pengsan sebab memang tak sangka. Tambahan pulak saya minat sangat dengan SRK. Ia satu penghormatan buat saya.

"Tak lama lepas tu video Kun Anta yang saya 'lip sync' pula dikongsi Humood di Instagram. Alhamdulillah. Sangat terharu! Kelakar pun ada sebab macam tak percaya dapat perhatian kedua-duanya dalam masa singkat," katanya kepada mStar Online.

Menurut Nur Amira, reaksi suami yang berdiam diri tanpa menunjukkan sebarang ekspresi muka turut menambahkan humor dalam video tersebut.

"Sebab tu mereka pun bertanya, kenapa lelaki itu (suami) boleh berdiam saja, selamba macam tak ada apa-apa.

"Ternyata reaksi diam suami penambah tarikan yang membuatkan dua selebriti antarabangsa ini turut terhibur," katanya.

Bagaimanapun, dia tidak kisah sekiranya tarikan videonya selama ini dibayangi gaya spontan suami.

"Saya ada jugak cakap, amboi 'overshadowed' ya. Dia ketawa saja. Tapi saya tiada masalah pun. Rasa kelakar juga sebab reaksi suami yang diam tu pun dapat perhatian," kata Nur Amira sambil menambah bercadang untuk membuat video baharu memetik lagu-lagu bintang pop, Beyonce.

Sumber: Mstar Online