Loji Air Pokok Sena Dijangka Siap November


POKOK SENA - Penduduk Pokok Sena kini mampu menarik nafas lega apabila loji rawatan air Syarikat Air Darul Aman (Sada) di Jabi, di sini  dijangka siap sepenuhnya  pada November nanti.

Exco Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim  berkata, loji rawatan yang mula dibina pada 2016 itu akan memberi manfaat kepada 63,000 penduduk  di Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap  terutamanya di kawasan yang mempunyai tekanan rendah.

Sebelum itu penduduk Pokok Sena terpaksa berkongsi loji air dengan penduduk Alor Setar di Bukit Pinang  yang berkapasiti hanya 20 juta liter air dan ini sudah pasti menimbulkan pelbagai masalah penggunaan air di daerah itu.

‘Kini apabila loji rawatan air di Pokok Sena siap ia mampu menampung sebanyak 30 juta liter sehari, air dari loji ini akan terus disalurkan kepada tangki utama yang terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dan seterusnya membekalkan kepada penduduk di daerah ini.

“Loji air di Bukit Pinang tidak mampu lagi menampung keperluan penduduk di Pokok Sena dan Alor Setar apatah lagi pertambahan penduduk semakin meningkat. Masalah itu kian terasa terutamanya menjelang musim perayaan dan cuti umum hingga Sada terpaksa menghantar air ke rumah yang menghadapi  masalah bekalan air selama ini.

“Oleh itu dengan bantuan kerajaan persekutuan , Sada telah membina loji bernilai  RM68  juta  bagi menyelesaikan masalah air di daerah ini dan berharap dapat  beroperasi  pada November nanti,” katanya semasa membuat lawatan turun ke padang di tapak loji rawatan air di Jabi hari ini.

Tambahnya lagi, Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (Sada) kini dalam peringkat terakhir ujian saluran paip dan kualiti air bagi menepati piawaian yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

Sumber: Sinar Harian