Luang Masa 5 Minit Terang Keadaan Pesakit Kepada Keluarga


IPOH – Kakitangan kesihatan termasuk jururawat diminta agar meluangkan masa sekurang-kurangnya lima minit untuk memberi penjelasan kepada keluarga pesakit mengenai keadaan pesakit.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata penjelasan tersebut amat diperlukan agar anggota keluarga dapat mengetahui rawatan yang diberikan pesakit semasa di hospital selain dapat mengurangkan kebimbangan mereka.

“Maka untuk memberi keselesaan kepada mereka, belanjalah lima minit untuk beri penjelasan apa yang berlaku kepada pesakit.

“Jika anggota keluarga tidak tahu apa yang berlaku, itu adalah satu kesilapan. Saudara mara perlu tahu apa yang sedang berlaku, apa yang telah dibuat atau apa yang akan dibuat ke atas pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvokesyen 2017 Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta di sini hari ini.

Seramai 7,041 graduan dari 26 kolej ILKKM di Zon Semenanjung diraikan sepanjang tiga hari majlis konvokesyen kali ketujuh itu yang bermula sejak 21 Okt lalu.

Dr Subramaniam berkata individu yang tidak boleh mewujudkan perhubungan baik serta penyayang terhadap pesakit dan anggota keluarga mereka, tidak boleh menjadi kakitangan bidang kesihatan.

“Kalau kita boleh mempunyai komunikasi yang sihat dan aktif termasuk memberi penjelasan kepada saudara mara pesakit, banyak masalah atau aduan berkaitan dapat diselesaikan,” katanya.

Dalam sidang media kemudiannya, Dr S.Subramaniam berkata pihak kementerian mengalu-alukan hospital swasta agar mengggalakkan kakitangan mereka mengikuti kursus lanjutan dalam pelbagai bidang antaranya perawatan rapi.

“Latihan itu dikawal selia oleh kementerian kerana kita mempunyai kapasiti dan tenaga mahir untuk menjalankan kursus ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah ketika ini berikutan keadaan suhu panas dan kering..

“Sebagai contoh kalau suhu 32 darjah, elakkan berjogging dan jika ada masalah dapatkan rawatan awal kerana ia sangat mustahak,” katanya. – BERNAMA