KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (Gaum) mempersoalkan mengapa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semakin kerap berbohong dan mengamalkan politik maki hamun sejak bersengkongkol dengan pembangkang.
Pengerusi Gaum, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, Mahathir seharusnya menunjukkan contoh yang lebih baik kepada generasi muda yang menceburi bidang politik dan bukan sebaliknya walaupun selepas beliau berpaling tadah daripada UMNOi.
“Apabila pemimpin politik dilihat kerap berbohong dan membudayakan pula politik maki hamun, tidak dapat digambarkan bagaimana pula masa depan generasi muda yang akan datang dan bakal mewarisi kepimpinan negara.
“Janganlah hanya kerana dendam mahu menjatuhkan kepimpinan Najib sehingga semua perkara yang dilakukan walaupun perkara tersebut tidak betul cuba dihalalkan, malahan sanggup memutar belit fakta bagi tujuan cuba mengaburi mata rakyat untuk menolak Najib.
“Cukuplah saf pimpinan pembangkang mempunyai pemimpin seperti Rafizi Ramli yang dilihat kerap berbohong bahkan mutakhir ini Mahathir pula dilihat seakan cuba mencontohi cara Rafizi berpolitik dengan menggunakan kaedah politik bohong dan memaki hamun,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Mahathir selepas meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berjaya dipancing oleh Pakatan Harapan yang dibarisi oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) untuk menyertai pakatan pembangkang tersebut.
Sejak itu, Mahathir yang sangat berdendam dengan Najib kerana kecewa kepentingan peribadi dan kroninya tidak dipenuhi Kerajaan Persekutuan dibawa menjelajah ke seluruh negara oleh DAP dan sekutunya masuk ke kampung-kampung bagi memujuk kaum Melayu menyokong pembangkang.
Terdahulu, Zulkarnain berkata, Gaum tempoh selama seminggu kepada Mahathir untuk membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri kerana memfitnah Najib punca Peter Bellew melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS).
Kata beliau, Mahathir perlu berbuat demikian memandangkan Bellew dalam sidang media rasminya pada Ahad lalu dengan tegas dan jelas menafikan tuduhan yang dilemparkan oleh Mahathir tersebut.
Katanya, Bellew malah menegaskan Najib tidak pernah campur tangan dalam kerja beliau malah Perdana Menteri Malaysia memberi galakan kepada beliau dalam setiap tindakannya sewaktu mengemudi MAS. - Kedahnews.com