KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah melancarkan Sistem Semakan Had Kifayah yang boleh dilawati melalui portalnya di Dewan Kuliyyah MAIPs di Jalan Behor Temak di sini hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan pelancaran sistem itu sempena Mesyuarat Ahli Majlis MAIPs kali keenam 2017 yang dipengerusikan baginda.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Ahmad Zamri Khairuddin, Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Mohd. Nazim berkata, Sistem Semakan Had Kifayah ini bertujuan menyediakan ruang kepada masyarakat mengenal pasti golongan asnaf, fakir dan miskin di Perlis.
“Sekaligus ia akan memudahkan masyarakat mengenalpasti golongan tepat untuk menerima sumbangan zakat,” katanya.
Beliau berkata, had kifayah berkenaan adalah selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berkaitan had minimum yang diperlukan oleh seseorang untuk tinggal di Perlis.
Semakan berkenaan boleh dilayari melalui portal rasmi MAIPs di alamat www.maips.gov.my.
Sumber: Utusan Online