Majlis Konvokesyen Disaji Baby Shark Dan I Am Me!


BULAN Oktober bukan sahaja terkenal dengan bulan Pink atau pun ‘Pink October‘ bersempena dengan kempen kesederan kanser payudara.

Malah, bulan Oktober juga merupakan bulan ‘kegembiraan’ buat pelajar-pelajar universiti di Malaysia yang meraikan konvokesyen mereka.

Baru-baru ini sebuah universiti tempatan tular kerana majlis konvokesyennya disaji dengan lagu-lagu trending masa kini.

Sejak 24 Oktober lalu, nama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menjadi sebutan kerana tularnya satu video nyanyian kumpulan koir mereka yang mempersembahkan lagu-lagu yang menjadi siulan ramai.

Kumpulan koir yang diberi nama UniKL Voice itu telah mendendangkan beberapa lagu-lagu yang telah mendapat tempat di hati netizen.

Antara lagu-lagu tersebut termasuklah lagu I Am Me yang dipopularkan oleh jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida dan juga lagu kanak-kanak yang pernah menjadi fenomena di Malaysia iaitu Baby Shark.

Video itu telah mendapat lebih dari 245,000 tontonan sejak di muat naik di media sosial beberapa hari lalu.

Video itu juga telah dikongsi sebanyak 612 kali setakat ini.

Rata-rata pengguna media sosial turut terhibur dengan persembahan yang dipersembahkan.

Tetapi, mungkin bagi sesetengah pihak, majlis konvokesyen di universiti-universiti lain dijalankan dengan penuh protokol dan persembahan yang disampaikan bersifat lebih rasmi.

Majlis konvokesyen yang ke-14 itu turut dihiburkan dengan persembahan-persembahan artis tanah air. Antaranya, Datuk Awie, Wany Hasrita, Ajai, Hael Husaini dan beberapa orang lagi. - Kedahnews.com