Majlis Perbandaran Kulim Komersial Penapis K-Free, Lebih Jimat Kualiti Air Terjamin


ALOR SETAR - Majlis Perbandaran Kulim (MPK) merancang mengkomersialkan pro­duk inovatif ciptaannya iaitu Penapis K-Free yang merupakan komponen tambahan kepada Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH).

Penggunaan Penapis K-Free tersebut dikatakan memboleh­kan pengguna mendapat takungan air hujan yang lebih bersih berbanding sebelum ini selain menjamin keselesaan mereka.

Menurut Fasilitator Kumpulan Inovatif dan Kreatif MPK, Mohd. Nazri Mohd. Harun, penapis  yang boleh mengasingkan benda asing dan kotoran dalam SPAH itu kini dijual kepada orang ramai pada harga promosi iaitu RM500 seunit.

“Sejak 2015 kita memasarkan Penapis K-Free ini, namun tidak secara komersial. Sehingga kini, MPK menjual 20 unit penapis yang khusus untuk dipasang pada SPAH.

“Selaras dengan pindaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS) bagi pelaksanaan SPAH di sesebuah bangunan, kita mengharapkan produk inovatif MPK ini dapat dikomersialkan di seluruh negara,” katanya yang dipetik dari Utusan Online.

Harapan MPK adalah lebih ramai pihak memilih produk ini kerana ianya secara tidak langsung dapat menjimatkan bil air di kediaman anda.

“Kita berharap lebih banyak pihak seperti pemaju perumahan, syarikat swasta, agensi kerajaan dan premis kediaman memilih untuk menggunakan produk ini yang secara tidak langsung dapat menjimatkan bil air masing-masing.

“Produk yang berjaya memperoleh sijil pendaftaran paten (MY-163462-A) daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia itu diharap dapat menjadi pilihan ramai dan secara langsung menyokong hasrat kerajaan dalam mendidik masyarakat ke arah amalan hijau,” ujarnya.


Majlis Pelancaran Produk Penapis K-Free: Amalan Hijau Bagi Melestarikan Alam Sekitar tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim (MPK), Rohaizad Rashid.

Dalam majlis tersebut,MPK turut menyumbangkan dua unit Penapis K-Free kepada dua surau iaitu Surau At-Taqwa, Taman Senangin dan Surau Riyadhus Solihin, Taman Cengal untuk kegunaan komuniti setempat.

Seterusnya, orang ramai yang ingin mendapatkan produk Penapis K-Free boleh menghubungi Farah Izah Abu Hassan di talian 019-4123551 atau Azami Kasim di talian 012 4316492. - Kedahnews.com