Maklum Konsulat Jika Mahu Ke Bali


JAKARTA - Rakyat Malaysia yang datang ke Bali sama ada untuk bercuti atau urusan lain, diingatkan sekali lagi memaklumkannya kepada Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di pulau itu bagi memudahkan komunikasi berikutan gunung berapi Gunung Agung masih berstatus ‘awas’.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pada masa ini pihaknya dan Pejabat Konsul Kehormat sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di Bali terutamanya pelajar, ekspatriat dan pelancong.

“Pihak kedutaan juga sudah menyelaras dengan pelajar Malaysia di Bali untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama, semalam.

Sebelum ini, pihak konsulat sudah menghubungi beberapa pelajar Malaysia yang berada di dalam zon bahaya iaitu dalam lingkungan 12 kilometer dari puncak gunung agar berpindah ke tempat selamat.

Zahrain juga meminta nasihat serupa dikeluarkan oleh syarikat penerbangan Malaysia yang membawa rakyat Malaysia ke Bali.

Rakyat Malaysia boleh mendaftarkan keberadaan mereka di Bali menerusi Facebook @embassymalaysiajakarta dan Twitter @myembjkt, atau menghubungi kedutaan besar di Jakarta menerusi talian +62215224947 atau +6281380813036 (selepas waktu pejabat) atau e-mel mwjakarta@kln.gov.my.

Bagi yang berada di Bali pula boleh menghubungi Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Puri Kumara Sakti, Jalan Bentuyung, Ubud, Gianyar, 90571 Bali atau telefon +62361973182/ +6281237154050 atau e-mel balihcmalaysia@gmail.com.- BERNAMA