Mangsa Banjir Kedah Mohon Bantuan Baiki rumah Rosak


ALOR SETAR - Beberapa penduduk yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda baru-baru ini sekali lagi diuji apabila dibelenggu masalah keretakan rumah.

Mangsa banjir di beberapa kampung sekitar Kepala Batas, Alor Setar mendakwa bencana alam yang menimpa mereka pada tahun ini agak teruk sehingga meninggalkan kesan kepada rumah mereka dimana kemungkinan besar turut mengancam nyawa keluarga mereka.

Nik Noraini Nik Pa,49, dari Kampung Seri Pasir berkata, rumahnya terjejas sejak banjir pada tahun 2010 yang lalu dan kini skruktur rumahnya sekali lagi menjadi ancaman kerana semakin rosak akibat saliran air yang kuat.

“Selepas setiap kali rumah saya dilanda banjir sudah pasti dinding atau lantai rumah akan rosak kerana dilanda arus air banjir  yang kuat. Sebelum ini selepas banjir kami sekeluarga terpaksa menampal beberapa rekahan di dinding dengan mengeluarkan wang sendiri.

“Bagaimanapun apabila banjir itu kini menjadi seperti acara tahunan kami terpaksa menampal di dinding yang berlaku rekahan serius sahaja. Di kawasan ini setiap hujung tahun pasti air Sungai Padang Terap akan melimpah akibat hujan lebat hingga kami terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir ,” katanya.

Bagi Mohd Nor Hashim,64, pula, keadaan menjadi tambah bahaya dan serius apabila Sungai Padang Terap melimpah akibat hujan lebat yang berterusan dan aliran air yang kuat.

“Sebelum ini masalah itu tidak timbul tetapi selepas banjir besar 2010 berlaku menyebabkan banyak rumah di sekitar kawasan itu akan ditenggelami banjir. Selepas itu mangsa banjir pasti akan berhadapan dengan masalah  keretakan dinding rumah.

“Masalah  banjir itu terjadi disebabkan tiadanya kerja mendalam sungai dilakukan serta benteng yang dapat menahan saliran air hingga mampu melimpah masuk ke beberapa kampung di sini,” katanya.

Antara kampung yang terjejas teruk akibat banjir kilat tersebut adalah Kampung Seri Pasir, Kampung Lorong Sungai, Kampung Bukit Pinang dan Lengkuas.

Disebabkan itu, penduduk yang terjejas memohon bantuan bagi membaiki rumah mereka yang retak dan terjejas akibat bencana tersebut. - Kedahnews.com