TAWAU - Selepas tujuh bulan dibebaskan daripada tawanan penculik, Tayudin Anjut, 46, kini berdepan detik sukar apabila hilang punca pendapatan selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai kru bot tunda di syarikat tempatnya bekerja sebelum ini.
Tayudin berkata, dia menghadapi kesukaran untuk mencari pekerjaan di darat kerana tidak memiliki kemahiran lain selain jiwanya sudah sebati dengan pekerjaan di laut.
Katanya, sejak dibebaskan beberapa bulan lalu, dia banyak menghabiskan masa berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan dan pembedahan kedua-dua belah mata dengan keadaan kesihatan semakin baik namun perlu menggunakan cermin mata gelap jika berada di luar.
"Bagaimanapun, apa yang merisaukan saya ialah kehilangan punca pendapatan untuk menyara keluarga empat beranak. Ini kerana sebelum ini keluarga hanya bergantung kepada gaji yang saya peroleh dengan bekerja sebagai kru bot.
"Saya difahamkan syarikat tidak dapat mengambil saya bekerja semula mungkin disebabkan faktor kesihatan.
"Cuma saya berharap ada syarikat lain sudi mengambil atau menawarkan pekerjaan kerana sekarang saya sihat dan yakin boleh bekerja semula," katanya yang memiliki kemahiran mengendalikan enjin bot tunda selama puluhan tahun ketika ditemui BH di rumahnya, di sini.
Pada 18 Julai 2016, Tayudin bersama empat rakannya yang juga kru kapal tunda, diculik anggota Abu Sayyaf di perairan Dent Heaven di Lahad Datu ketika dalam perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan.
Mereka berlima dibebaskan pada Mac tahun ini selepas lapan bulan berada dalam tahanan.
Sementara itu, isteri Tayudin, Gustiah Sultan 47, berkata sebelum ini pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ada berkunjung ke rumah mereka untuk proses permohonan bantuan dan pampasan kepada suaminya.
"Bagaimanapun, sehingga kini kami belum dimaklumkan mengenai status pampasan berkenaan. Saya harap permohonan pampasan suami dipercepatkan bagi meringankan beban kami termasuk bayaran sewa rumah selain keperluan anak-anak yang masih bersekolah.
"Sekiranya wang pampasan diperoleh, kami bercadang memulakan perniagaan 'Food Truck' tetapi semua itu bergantung kepada modal selain bantuan pihak berkenaan seperti pinjaman perniagaan daripada TEKUN dan MARA," katanya.
Sumber - Berita Harian