ALOR SETAR - Mangsa kebakaran rumah, Mohd Akuan Md Salleh, 20, di Jalan Datuk Kumbar, di sini, tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar deposit sewa rumah yang baharu.
Menurut Mohd, dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang disewa sebelum ini musnah dalam kebakaran.
“Kami tak sempat selamatkan dokumen penting dan perkakas rumah.
“Yang tinggal, baju yang sedang dipakai masing-masing. Yang lain, habis terbakar sebab kami tak mampu buat apa-apa kerana api terlalu marak,” katanya yang dipetik dari Sinar Online.
Katanya, mereka bukan hanya kehilangan tempat berteduh, malah kerugian harta benda.
Tambahnya, dia bersama ibu, Siti Zaharah Ismail, 60, dan tiga adik-beradik lain kini menumpang teduh sementara waktu di Rumah Transit Negeri Kedah sebelum mendapat rumah sewa untuk didiami.
Abangnya, Mohd Abdullah, 24, berkata, mereka telah menemui rumah untuk disewa di Tandop, di sini, apabila perlu keluar dari rumah transit itu pada Jumaat nanti namun mereka tidak cukup duit untuk bayar deposit rumah baharu sebanyak RM800.
“Bagaimanapun, kami tak cukup wang untuk bayar duit deposit sebanyak RM800.
"Sekarang dalam tangan, kami hanya ada lebih kurang RM300, itu pun hasil sumbangan beberapa pihak,” katanya.
Menurutnya, dia buntu kerana masih memerlukan sejumlah wang segera untuk mencukupkan wang deposit rumah sewa baru dan membeli barang keperluan.
“Dengan keadaan nak masuk tengah bulan, saya memang susah hati.
"Tidak tahu mana lagi nak cari, sedangkan gaji masuk lambat lagi,” katanya.
Atas keprihatinan terhadap nasib menimpa keluarga terlibat kebakaran itu, Adun Derga, Tan Kok Yew bersama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turun padang melawat keluarga Zaharah di rumah transit.
Dalam lawatan itu, mangsa diberi sumbangan barangan keperluan makanan seperti beras dan tepung untuk meringankan beban keluarga berkenaan.
Bagi orang awam yang ingin membantu keluarga Zaharah boleh melakukannya dengan menghubungi anak lelakinya, Abdullah melalui talian 013-8437820.
Dalam kejadian 6 Oktober lepas, dua keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua rumah jenis B di Jalan Datuk Kumbar, di sini, musnah 80 peratus dalam kebakaran tersebut. - Kedahnews.com