Masjid Zahir Alor Setar Antara Yang Tercantik Di Dunia


ALOR SETAR - Tahukah anda mengenai sejarah Masjid Zahir yang terletak di tengah bandar raya Alor Setar? Bahkan tahukan anda bahawa Masjid Zahir disenaraikan antara yang tercantik dunia?

Masjid Zahir sebenarnya turut dikenali sebagai Masjid Zahrah atau sebagai Masjid Raja kerana ia merupakan masjid Diraja dan terletak di perkarangan Istana Pelamin.


Masjid Zahir merupakan mercu tanda yang terkenal di Alor Setar, dengan ciri kubah hitam, satu kubah utama dan lima kubah lebih kecil, yang melambangkan lima rukun Islam.

Menurut Indiatvnews, Masjid Zahir merupakan masjid keempat tercantik di dunia.

Dalam senarai tersebut, Masjidil Haram Makkah di Arab Saudi dinobatkan yang tercantik di dunia, diikuti dengan Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin.

Masjid Zahir diilhamkan dari Masjid Azizi di Bandar Langkat, Sumatera Utara dan mula dibina pada 22 Rabiulawal 1330H atau 11 Mac 1912 atas usaha Tunku Mahmud Ibni Almarhum Sultan Tajuddin Mukarram Shah.

Sementara upacara perasmiannya dilakukan pada hari Jumaat 15 Oktober 1915 oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah dan Almarhum menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut pada hari perasmian tersebut

Tapak masjid ini pada asalnya ialah tanah pusara wira-wira Kedah yang gugur semasa mempertahankan Kedah daripada serangan Siam (1821). Pembinaan masjid ini mengambil masa selama 3 tahun. - Kedahnews.com